Para ulama' Islam menggesa umat Islam supaya menuntut ilmu melalui guru, untuk mengelakkan dari berlaku kesilapan dalam memahami ilmu yang dipelajari mereka. Imam An-Nawawi menegaskan tentang keperluan seorang pelajar mencari guru yang warak dan bertaqwa dalam kitab Syarh Muhadhdhabnya. Imam Syafii pernah menegaskan sesiapa yang menuntut ilmu tidak melalui guru, maka ia akan banyak mensia-siakan hukum.
Menurut imam Abu Hanifah pula seseorang itu tidak akan dapat memahirkan diri dalam memahami ilmu, apabila majlis ilmu yang diadakan tidak diseliakan oleh guru yang berkelayakan. Syeikh Najmuddin Al-Kurdi menjelaskan dalam bukunya Tanwir Al-Qulub menuntut ilmu tanpa guru bererti menuntut ilmu dengan syaitan. Dalam dunia pembelajaran dewasa ini kesemuanya memerlukan kepada guru walaupun melibatkan ilmu tentang bahasa Inggeris, matematik dan lain-lain.
Apalagi ilmu-ilmu yang bersangkut paut dengan ilmu agama. Kerana itu tidak hairanlah pihak berkuasa mewujudkan maktab-maktab perguruan di seluruh negara. Dewasa ini terlampau ramai orang yang ingin bercakap tentang Islam, walaupun ia sendiri bukanlah pakar dalam bidang tersebut, kerana itu kupasan dan olahannya lebih banyak menyeleweng dari betul. Sehubungan dengan itu institusi perguruan adalah sesuatu yang mesti dillalui oleh seseorang dalam menuntut ilmu.
Jika seseorang itu sudahpun mempunyai asas- asas ilmu yang kukuh dalam bidang-bidang yang berkaitan, bolehlah ia membaca buku-buku yang berkaitan dengan bidangnya itu walaupu tanpa guru. Bagaimanapun jika ada kesamaran terhadap beberapa maklumat yang di bacanya, hendaklah dirujuk kepada gurunya semula. Jika ia tidak mempunyai asas, langsung tentangnya dan tidak dapat memahami apa yang dibacanya dengan baik, orang seperti ini memerlukan kepada guru bagi mengelakkan salah faham . Apalagi jika ilmu-ilmu tersebut masih tertulis dalam bahasa Arab dan amat sukar kepada seseorang memahaminya tanpa guru.
Berhubung ilmu-ilmu yang biasa disampaikan melalui internet oleh orang yang berkelayakan, maka tidaklah salah mengambil ilmu ini. Ia termasuk juga dalam istilah berguru. Cuma tekniknya sahaja yang lebih moden. Tambahan pula permasalahan harian feqah contohnya merupakan antara permasalahan sudah biasa didengari oleh masyarakat umum dalam media massa.
No comments:
Post a Comment